Tempatan

Rencana Tuaran

Tuaran merupakan sebuah daerah yang terletak dalam negeri Sabah. Sebuah kawasan yang mempunyai keluasan 1 194 km. Secara geografinya, Tuaran terletak di bahagian Pantai Barat Selatan Negeri Sabah. Kawasan Tuaran bersempadan dengan Kota Kinabalu dan Penampang di Selatan, Ranau di Timur, Kota Belud di Utara dan Laut China Selatan di Barat. Darjah ketersampaian yang tinggi membolehkan Tuaran mudah dihubungkan melalui jalan raya. Perjalanan menggunakan kenderaan memakan masa selama kira-kira 40 minit dari Bandaraya Kota Kinabalu sejauh 34 km.
Berdasarkan sejarah, petempatan di kawasan Tuaran ini telah wujud sebelum kedatangan penjajah Barat dengan sistem pentadbiran oleh pembesar yang dilantik oleh Kerajaan Brunei daripada kalangan rakyat. Kewujudan nama Tuaran terbukti melalui surat Sir Stamford Raffles, Gabenor British di Jawa pada tahun 1813 kepada setiausaha British di India memohon kebenaran memasuki Borneo Utara atas pelawaan Sultan Brunei. Pelawaan ini adalah kerana desakan masalah lanun yang berleluasa di kawasan Jawaran (Tuaran). Nama Tuaran adalah bersempena dengan nama Sungai Tuaran yang merupakan satu-satunya sungai yang penting pada ketika dahulu sebagai jalan perhubungan masyarakat setempat.
Daerah Tuaran majoritinya dihuni oleh masyarakat peribumi Sabah yang terdiri daripada etnik Dusun, Bajau, Cina dan lain-lain. Kemajmukan etnik di kawasan Tuaran menyebabkan wujudnya kemajmukan budaya. Antaranya ialah budaya tarian yang mana etnik Dusun terkenal dengan tarian Sumazau. Manakala etnik Bajau juga mempunyai tarian mereka yang tersendiri iaitu Runsai, namun kurang didedahkan kepada generasi muda masa kini sehinggakan ianya hampir hilang dari budaya masyarakat Bajau. Tidak ketinggalan juga etnik Cina di Tuaran yang turut mempunyai tarian mereka iaitu Tarian Singa yang sering ditarikan pada Tahun Baru Cina.
Disamping budaya tarian, masyarakat Tuaran juga mempunyai minuman dan makanan mereka yang tersendiri. Bagi masyarakat Dusun di Tuaran, mereka terkenal dengan minuman yang dipanggil Bahar. Bahar merupakan sejenis minuman keras tradisional yang diperbuat daripada nira kelapa dicampur dengan kulit kayu daripada sejenis pokok yang dipanggil oleh masyarakat Dusun sebagai Rosok. Campuran ini menjadikan warnanya merah. Ahli kimia menyatakan bahawa minuman ini mengandungi anti oksidan yang tinggi. Walaubagaimanapun, minuman ini mempunyai bau yang kuat dan cepat menjadi basi yang mana rasanya akan bertukar menjadi masam.
Selain daripada minuman tradisional masyarakat Dusun iaitu Bahar, Tuaran juga terkenal dengan makanan yang dipanggil Mee Tuaran. Jika keharuman nama Kueh Tiau Goreng Penang sampai ke seluruh Malaysia, Mee Tuaran tidak kurang hebatnya dan kini sedang mengorak langkah menempah nama di persada makanan di Sabah dan ingin disebarkan ke seluruh Malaysia. Mee Tuaran ini diperbuat daripada mee yang bersalut dengan kuning telur dan tepung yang mana memberikan aroma telur apabila digoreng. Proses menggoreng Mee Tuaran mengambil masa 5 minit hingga 10 minit pada suhu yang tinggi sehingga meninggalkan tekstur kerak berwarna keemasan pada dasar mee tersebut. Semasa menggoreng, boleh dimasukkan sayur-sayuran seperti sawi. Sebelum dihidang, Mee Tuaran biasanya dihias dengan potongan bawang dan telur goreng. Hal ini menunjukkan Tuaran mempunyai keunikan makanan berbanding kawasan lain.
Kemajmukan penduduk di kawasan Tuaran dapat dilihat di Pekan Tuaran yang merupakan pusat segala aktiviti masyarakat dan pentadbiran Daerah Tuaran. Pekan Tuaran ini merupakan tempat yang strategik kerana terletak di tengah laluan dari Kota Kinabalu ke Kota Belud, Kudat dan Kota Marudu. Ini menjadikan Pekan Tuaran sebagai kawasan persinggahan. Disamping itu, di Pekan Tuaran terdapat sebuah pagoda iaitu “Puh Toh Tze Temple” yang menjadi mercu tanda sekaligus sebagai simbol pengiktirafan kehadiran masyarakat Cina di Tuaran. Hal ini membolehkan kawasan Tuaran dijadikan sebagai kawasan pelancongan.
Letakan Tuaran yang strategik membolehkan kawasan ini dibangunkan sebagai kawasan pelancongan. Antara tarikan utama pelancongan di Tuaran ialah resort pinggir pantai yang cantik iaitu seperti Tuaran Beach Resort, Shangri-La’s Rasa Ria Resort, Mimpian Jadi Resort, dan Dalit Bay Golf and Country Club. Tuaran Beach Resort yang dahulunya dikenali sebagai Sabandar Bay Resort terletak di garis pantai sepanjang 5 KM dengan dikelilingi pokok palma dan pokok casuarinas menjadikan resort ini sebagai kawasan yang sesuai untuk menenangkan diri. Resort ini yang bertaraf 3 bintang menyediakan pelbagai kemudahan yang akan memberi keselesaan kepada pengunjung seperti penghawa dingin, Wi-Fi, Coconut Bar, urutan, kolam renang dan banyak lagi. Terletak 34 KM dari Bandaraya Kota Kinabalu hanya mengambil masa selama 40 minit untuk sampai ke resort ini.
Selain itu, di Tuaran juga terdapat resort yang bertaraf 5 bintang iaitu Shangri-La’s Rasa Ria Resort. Resort ini mempunyai pantai pasir putih sepanjang 3 KM. Terletak di Pantai Dalit di kelilingi oleh kawasan seluas lebih 400 ekar hutan tropika yang subur. Di resort ini akan ditemui Orang Utan yang merupakan ikon Negeri Sabah. Disamping itu, akan kelihatan burung merak yang berjalan-jalan pada waktu sarapan, kadangkala arnab, iguana dan tupai melintas di hadapan pengunjung. Ini merupakan salah satu keistimewaan resort ini. Resort ini menyediakan pelbagai kemudahan untuk menenangkan diri termasuk spa di Dalit Bay, sukan air, kapal untuk bersiar-siar di laut dan memancing di laut dalam, padang golf 18 lubang, tenis, menunggang kuda, pusat kesihatan dan kekuatan serta kelab kanak-kanak untuk menjaga pengunjung muda. Dengan menggunakan kenderaan, hanya mengambil masa selama 40 minit untuk sampai ke resort ini dari Kota Kinabalu.
Bagi penggemar golf, di Tuaran terdapat tempat yang menjadi tumpuan untuk para peggemar golf kunjungi iaitu Dalit Bay Golf and Country Club. Tempat ini terletak 35 KM dari Kota Kinabalu yang mana mengambil masa selama 40 minit dengan menggunakan kenderaan. Kelab golf 18 lubang ini turut menyediakan kemudahan seperti restoran, kawasan latihan chipping dan bunker, bilik persalinan dan kedai golf profesional.
Satu lagi tempat yang terkenal dan boleh dilawati di Tuaran ialah Taman Buaya Tuaran. Terletak 32 KM dari Kota Kinabalu dan mengambil masa selama 40 minit merupakan tempat perlindungan bagi 5000 ekor buaya. Antara spesies buaya yang terdapat di taman ini ialah spesies Buaya Tembaga, Buaya Nile, Buaya Aqua dan Buaya Gharial. Disamping buaya, di taman ini juga menempatkan pelbagai haiwan lain seperti dua Ular Sawa Borneo sepanjang 20 dan 28 kaki, burung unta dan rusa. Taman ini yang terletak di Kg. Lok Batik Jalan Sulaman Tuaran dibuka setiap hari dari jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang. Dikenakan yuran yang berpatutan iaitu RM10 seorang bagi dewasa dan RM5 bagi kanak-kanak membolehkan taman ini mampu dikunjungi oleh masyarakat setempat dan masyarakat luar. Disamping melihat buaya dan pertunjukkan buaya, pengunjung turut dapat melihat pertunjukkan budaya seperti tarian masyarakat tempatan.
Walaupun kawasan pelancongan di Tuaran tidak mampu dinikmati oleh kebanyakan masyarakat setempat yang berpendapatan sederhana dan rendah, namun kewujudan kawasan pelancongan ini memberi erti yang besar kepada penduduk setempat. Hal ini kerana kawasan ini menawarkan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat. Kawasan ini menawarkan pekerjaan seperti pekerja resort sehinggalah budak kadi golf yang dapat memberi pendapatan kepada masyarakat sekitar disamping tempat kerja yang hampir dengan rumah mereka. Masyarakat sekitar kawasan pelancongan ini juga dapat memperkenalkan hasil kraftangan mereka kepada pelancong kerana kawasan pelancongan ini dibina berhampiran kampung kediaman masyarakat Tuaran iaitu perkampungan masyarakat Bajau.
Di kawasan Tuaran juga mempunyai perkampungan atas air yang jarang-jarang dapat dilihat pada hari ini. Kawasan perkampungan atas air yang masih wujud sehingga ke hari ini ialah perkampungan masyarakat Bajau di Mengkabong dan Penimbawan. Masyarakat luar yang datang ke Tuaran bolehlah melawat ke perkampungan ini untuk merasa pengalaman tinggal di perkampungan atas air. Pada hari ini, perkampungan atas air jarang dapat dilihat ekoran pembangunan yang kian pesat.
Disamping itu, Tuaran mempunyai pemandangan perkampungan yang indah. Pemandangan sawah padi yang kini jarang-jarang dapat dilihat. Sekaligus, pengunjung dapat menikmati penempatan perkampungan yang paling dekat dengan Bandaraya Kota Kinabalu. Malahan, sebilangan warga kota yang bekerja di Bandaraya Kota Kinabalu, memilih untuk berulang-alik menetap di Tuaran di luar kesibukan bandaraya.
Satu lagi keunikan Tuaran ialah pada setiap hari Ahad, diadakan Tamu di Pekan Tuaran. Pada setiap hari Ahad merupakan hari paling ramai masyarakat Tuaran dan sekitarnya datang ke Pekan Tuaran untuk mengunjungi Tamu Tuaran. Tamu Tuaran ini sama seperti Tamu Besar Kota Belud, cuma bezanya adalah dari segi saiz Tamu. Pelbagai barangan dibawa dari segenap pelosok kampung di Daerah Tuaran untuk diperdagangkan di Tamu ini seperti buah-buahan, sayur-sayuran, kraftangan, ikan, kuih-muih tradisional, tembakau tradisional yang dipanggil sigup oleh masyarakat tempatan dan barang-barang moden. Tentang harga barangan di Tamu ini, semuanya boleh dirunding. Bagi pelancong, banyak yang boleh dijadikan gambar menarik semasa di Tamu Tuaran ini.
Kawasan Tuaran mempunyai banyak tempat untuk dikunjungi sama ada pungunjung tempatan mahupun pengunjung luar. Oleh itu, sebagai masyarakat Tuaran khasnya, sudah menjadi tugas masyarakatnya untuk terus mempromosikan Tuaran agar semakin ramai pengunjung. Sekaligus, dapat meningkatkan pendapatan negara dalam sektor pelancongan dan menggalakkan rakyat negara Malaysia melancong dalam negara sahaja. Pihak pengurusan kawasan pelancongan juga diharap terus mengekalkan perkhidmatan-perkhidmatan mereka untuk menjadikan pengunjung sentiasa selesa dan berpuas hati. Hal ini boleh menjadikan Tuaran sebagai kawasan pelancong pilihan oleh pelancong sama ada dalam dan luar negara.

Oleh Kiasman Karim



H1N1

Baru-baru ini dunia sekali lagi digemparkan dengan satu wabak penyakit selepas kemunculan wabak system acute respiratory syndrome (SARS) pada tahun 2005 yang telah mengorbankan ratusan orang. Wabak penyakit tersebut ialah wabak H1N1 atau lebih dikenali sebagai Pandemik influenza A yang telah diisytiharkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia(WHO) tahap pandemik fasa 6 pada 11 Jun 2009. Maksud Influenza Pandemik ialah kejadian wabak influenza yang menyerang sebahagian besar penduduk dunia. Ia berlaku akibat kemunculan virus influenza A baru iaitu penduduk dunia tidak mempunyai daya ketahanan badan bagi melawan virus itu. Sejarah H1N1 Pada 5 Februari 1976, tentera di Fort Dix, Amerika Syarikat menyatakan dirinya letih dan lemah kemudian mati keesokannya.


Doktor mengesahkan kematian berpunca daripada virus influenza A (H1N1) sebagaimana tahun 1918 akibat pandemik selesema. Presiden Gerald Ford diminta mengarahkan rakyat disuntik dengan vaksin. Namun rancangan suntikan itu dibatalkan.Pada Ogos 20, 2007 wabak selesema ini menyerang Nueva Ecija dan tengah pulau Luzon, Filipina. Pada 1968 ,virus Hong Kong membunuh lebih sejuta orang di seluruh dunia. Terdapat bebarapa nama yang digunapakai oleh masyarakat untuk menggantikan istilah H1N1, antaranya ialah swine flu, Influenza A, dan selesma babi. Demam virus Influenza A merupakan sejenis penyakit sistem pernafasan (respiratory) yang biasanya ditemui dikawasan babi. Virus Influenza A (H1N1) atau swine flu ini biasanya berlegar dalam spesies babi sahaja dan tidak menjangkiti manusia.

Namun jangkitan terhadap manusia telah berlaku dan penyebaran virus ini dalam kalangan manusia telah mula dikesan sejak tahun 1988. Centers for diseases control(CDC) ada menyatakan bahawa virus (H1N1) boleh berjangkit dan merebak dari seorang ke seorang manusia lain. Mengikut kajian virus influenza A H1N1 ini berjangkit dari seorang ke seorang yang lain dengan beberapa cara. Penyakit itu mula merebak apabila mereka yang dijangkiti menggunakan tangan untuk menutup mulut ketika batuk atau bersin, kemudian menyentuh sebarang permukaan, atau bila titisan-titisan air tersebar ke udara. Mereka yang tidak dijangkiti kemungkinan menyedut udara yang sudah tercemar, atau menyentuh tangan mereka yang dijangkiti atau permukaan yang tercemar lalu terdedah kepada penyakit berkenaan. Oleh itu, bagi mencegah ia daripada merebak, seseorang itu perlu sentiasa mengekalkan kebersihan yang sewajarnya, sebagai contoh, tutup mulut dan hidung setiap kali anda batuk atau bersin dengan tisu atau dengan tangan kemudian buangkan tisu itu segera dan sentiasa cuci tangan dengan sabun antibakteria atau air.

Seseorang yang dijangkiti mungkin boleh menjangkiti seorang lain bermula sehari sebelum simptom itu merebak hingga ke hari ke-7 selepas dijangkiti (sakit). Ini bermakna kita mungkin boleh menyebarkan virus ini sebelum mengetahui yang kita telah dijangkiti. Mereka yang dijangkiti dengan virus ini boleh dikira sebagai pembawa virus selagi mereka di dalam simptom sehingga tujuh hari dari bermula sakit. Kanak-kanak, terutama anak-anak kecil berpotensi untuk dijangkiti untuk jangka masa yang lebih lama. Untuk paengatahuan kita sesetengah virus dapat hidup sehingga lebih dua jam di permukaan seperti meja kafeteria, tombol pintu dan meja. Membasuh tangan dengan kerap akan mengurangkan kesan pencemaran yang didapati dari permukaan-permukaan ini. Untuk pengatahuan kita virus influenza A tidak boleh berjangkit melalui makanan.

Jika anda sakit atau terdapat tanda-tanda seperti terkena selesema, duduk saja di rumah dan elakkan bersentuhan dengan orang lain, elakkan pergi ke tempat yang dipenuhi orang ramai, tempat awam atau menggunakan kenderaan awam. Elakkan juga menyentuh mata, hidung dan mulut kerana rembesan daripada tempat itu mengandungi virus dan boleh menjangkiti orang lain. Tanda dan gejala penyakit ini boleh beralih daripada orang dewasa kepada kanak-kanak, dan individu kepada individu lain. Justeru, di sini dinyatakan beberapa tanda amaran sebagai langkah berwaspada.

Sebagai permulaan, cuba elakkan daripada menyentuh mata, hidung, telinga dan mulut anda kerana ini adalah cara paling mudah bagi virus iu masuk ke dalam badan. Anda juga dinasihat agar sentiasa mencuci tangan dengan sabun antibakteria dan air daripada hanya membilasnya dengan air semata-mata. Gunakan teknik yang betul seperti yang dinyatakan di bawah sebagai panduan. Elakkan berada di tempat yang terlalu sesak dan kekalkan pengalihan udara disamping penjagaan kebersihan diri yang baik. Sekiranya anda merancang untuk ke luar negara, adalah lebih baik menangguhkannya terlebih dahulu sehingga wabak ini benar-benar reda.

Bagaimanapun, pihak kerajaan dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengambil beberapa langkah perlu bagi mengawal H1N1 daripada merebak seperti mengadakan saringan terhadap sebarang gejala H1N1 di setiap pintu masuk ke Malaysia kepada warga tempatan dan juga warga asing di samping menyebarkan khidmat nasihat kesihatan kepada orang ramai. Oleh itu, dengan semua maklumat berkaitan yang diperoleh, anda patut melindungi keluarga daripada terkena wabak ini seterusnya membantu Malaysia bebas daripada terkena H1N1. Paling penting, ini adalah tanggungjawab semua pihak untuk mengambil langkah yang perlu bagi mencegah virus selsema ini daripada merebak.

Terdapat bebarapa langkah yang telah di ambil oleh kerajaan untuk mengatasi penularan influenza A (H1N1) antaranya, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia mengaktifkan Bilik Gerakan untuk membuat pemantauan situasi wabak Virus Influenza A (H1N1) dengan pihak WHO bagi memastikan tindakan-tindakan proaktif diambil untuk melindungi kesihatan awam penduduk Malaysia, dan Semua Pengamal Perubatan termasuk di sektor swasta yang merawat kes-kes yang mempunyai tanda-tanda atau gejala ‘influenza-like illness’ atau ‘severe pneumonia’ dan mempunyai sejarah melawat Mexico, California, Kansas, Ohio, Texas, New York atau Kanada selepas 17 April 2009 diminta untuk memaklumkan kepada Pejabat Kesihatan Daerah yang terdekat dengan serta merta melalui telefon untuk tindakan pencegahan dan kawalan.

Seseorang itu boleh bermula dengan mengekalkan kebersihan diri yang optimum dengan mengekalkan kebersihan sepanjang masa. Selalu membasuh tangan dengan pencuci tangan Lifebuoy antibakteria bukan saja melindungi anda daripada terkena bakteria berbahaya, tetapi juga melembapkan tangan anda dan menjadikan kulit anda berbau harum. Selain daripada mencuci tangan dengan kerap, mandi dengan menggunakan pencuci badan antibakteria selepas pulang ke rumah juga adalah langkah mudah yang boleh diambil bagi mengelakkan daripada membawa pulang kuman dan bakteria berbahaya kepada keluarga anda.

Terdapat beberapa tanda awal yang perlu diteliti dikalangan kanak-kanak dan dewasa. Tanda yang perlu diteliti di kalangan kanak-kanak ialah sukar bernafas atau sesak nafas, bibir berubah menjadi biru, sering keletihan atau tidak mampu bergerak ,kejang pada bahagian leher, kelihatan keliru, mengalami sawan atau kekejangan, dan tidak membuang air kecil selama 12 jam. Antara tanda awal di kalangan dewasa yang perlu diteliti ialah demam berlanjutan selama lebih daripada lima hari, batuk tanpa mengeluarkan kahak, sukar bernafas,walapun ketika sedang berehat, sakit dada ketika bernafas, bibir berubah menjadi biru, deman yang berulang-ulang dan sesak nafas walapun kelihatan seperti telah sembuh, dan selalu pengsan.

Buat masa ini belum lagi ada sebarang vaksin untuk melindungi dari virus ini akan tetapi terdapat beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk membantu menghalang penyebaran kuman yang menyebabkan penyakit pernafasan seperti demam selesema. Cubalah langkah-langkah ini untuk melindungi kesihatan kita antaranya ialah, Tutup/lindung mulut dan hidung anda dengan tisu sewaktu bersin atau batuk. Buangkan tisu tersebut ke dalam tong sampah selepas menggunakannya, basuhlah tangan dengan sabun dan air dengan kerap terutamanya selepas batuk atau selesema. Pembersih tangan berasaskan alcohol juga berkesan, mengelak dari menyentuh mata, hidung dan mulut. Kuman boleh merebak dengan cara ini, ika anda sakit akibat demam selesema, disyorkan supaya anda tidak bekerja atau ke sekolah juga mengehadkan pergaulan dengan orang lain supaya mereka tidak dijangkiti.
Terdapat bebarapa cara terbaik untuk mengelakkan dari menyebarkan virus melalui batuk dan bersin. Jika anda sakit, hadkan pergaulan anda sebaik yang mungkin, jangan pergi ke sekolah, tutup mulut anda dengan tisu semasa batuk dan bersin . ia boleh membantu mengelak orang-oyang yang berada disekeliling kita jatuh sakit, buangkan tisu yang telah digunakan ke dalam tong sampah, tutup mulut anda semasa bersin dan batuk jika tiada tisu, dan basulah tangan kamu setiap kali batuk dan bersin. Untuk mengelak dari jangkitan selesesma kita perlu tahu untuk mengatahui teknik mencuci tangan yang betul. Teknik mencuci tangan yang terbaik ialah membasuh tangan dengan kerap akan membantu melindungi anda daripada kuman. Basuhlah dengan sabun dan air ataupun pembersih tangan berasaskan alcohol. Basuhlah tangan antara 15 ke 20 saat dengan air suam dan sabun. Jika tiada air dan sabun, tisu pakai buang berasaskan alcohol atau pembersih gel boleh digunakan. Ianya boleh didapati di kedai-kedai ubat dan pasar raya. Jika menggunakan gel, sapulah tangan anda sehingga gel itu kering. Alkohol di dalam gel tadi akan membunuh kuman dan ianya tidak memerlukan air untuk berkesan.

Jika kita jatuh sakit dan Jika anda tinggal di kawasan yang dikenal pasti wabak Virus Influenza A (H1N1) itu merebak dan mempunyai simptom-simptom demam selesema termasuk demam panas, sakit badan, selesema, sakit tekak, muntah mual dan cirit-birit, anda perlu berjumpa dengan doktor, terutamanya jika anda risau tentang simptom-simptom tadi. Doktor akan mengesahkan sama ada sebarang ujian atau rawatan adalah perlu.

Kesimpulannya kita perlu mengatahui sedikit sebanyak tentang Virus influenza A (H1N1). Oleh itu kita juga perlu mengamalkan cara hidup yang sihat untuk mengelakkan daripada dijangkiti oleh wabak ini. Kita perlu mengikuti langkah-langkah di atas untuk keselamatan diri kita.banyak lagi yang kita perlu lakukan untuk mengelakkan daripada terkena virus ini oleh itu kita perlu membuat banyak kajian tentang wabak influenza A (H1N1).

by Arthur Edward




kemana perginya bahasa..( by: azman bin pitungut)

penulisan ini sebenarnya bertujuan untuk memberi ransangan kepada pembaca mahupun diri saya sendiri mengenai isu yang kini semakin kita lupakan, “perkara 152 Perlembagaan Malaysia menyatakan bahawa bahasa kebangsaan merupakan bahasa melayu. Walau bagimanapun, perlembagaan menjamin kebebasan pembelajaran dan penggunaan bahasa-bahasa lain, kecuali di atas tujuan-tujuan rasmi. Tujuan-tujuan Rasmi di sini bermakna apa-apa tujuan kerajaan, samada negara atau negeri, dan termasuklah apa-apa tujuan penguasaan awam. Untuk penguatkuasaan ini, semua prosiding mahkamah dan dokumen-dokumen parlimen dan mesyuarat-mesyuarat mesti dilakukan di dalam bahasa Melayu. Tulisan rasmi bagi bahasa Melayu juga dinyatakan di dalam perkara 152 sebagai rumi atau tulisan Latin. Walau bagaimanapun, penggunaan Jawi tidak dilarang”.
Namun apa yang kita kihat pada hari ini masyarakat mahupun terdapat beberapa badan-badan tertentu yang lebih mengutamakan bahasa lain berbanding BAHASA MELAYU itu sendiri, apa yang juga mengecewakan ialah terdapat juga masyarakat kita pada masa kini yang tidak mengetahui penggunaan bahasa melayu secara baik. Penggunaan bahasa bahasaan serta bahasa slanga dalam kehidupan seharian juga merupakan faktor yang boleh menyebabkan berlakunya pencemaran dalam bahasa melayu itu sendiri.
Rencana berita harian online pada jumaat 02 oktober ada menyatakan mengenai melayu patut agungkan bahasa sendiri, perkara ini juga sudah cukup menjelaskan bahawa pelbagai pihak yang begitu prihatin terhadap bahasa kebangsaan kita, dalam rencana ini ada menjelaskan bahawa terdapat segelintir rakyat dinegara ini masih malu, rendah diri dan tidak fasih menggunakan bahasa melayu, dan perkara ini sebenarnya cukup memalukan kepada kita sendiri yang mengamalkan dan bercakap dalam bahasa melayu tetapi masih lagi tidak fasih dalam menggunakannya dalam kehidupan, dan yang lebih parah lagi orang melayu bukan sahaja segan malah lebih selesa menggunakan bahasa inggeris dalam urusan rasmi seperti dalam mesyuarat dan aktiviti lain.
Timbul satu persoalan disini adakah masyarakat dalam negara ini sendiri amnya sanggup membiarkan bahaa melayu terjadi sepertimana yang terjadi kepada bahasa latin, bahasa jawa dan bahasa Sanskrit yang pada suatu masa dahulu diagungkan oleh masyarakatnya sendiri, namun apa yang telah terjadi pada hari ini? Kemana perginya bahasa-bahasa tersebut? Adakah ia hilang ditelan zaman?..

Sejarah telah membuktikan bahawa pada masa dahulu bahasa Melayu telah menjadi lingua franca atau bahasa perantaraan di daerah Kepulauan Melayu sejak zaman-berzaman. Hal ini dapat dibuktikan apabila seorang pengembara China bernama I-Tsing telah singgah di Sriwijaya pada tahun 672 Masihi. Dalam perjalanannya dari China ke India, beliau menyatakan bahawa bahasa Melayu digunakan dengan meluasnya di Palembang.
Francois Valentijn pernah meriwayatkan bahawa kerajaan Melaka menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan antara orang-orang yang tinggal di Kepulauan Melayu dengan pedagang-pedagang dari Eropah dan Asia Barat.
Natijahnya, bahasa Melayu berfungsi sebagai bahasa lingua franca di kepulauan Melayu disebabkan bahasa ini mudah dipelajari, bersifat sederhana, tidak terikat kepada susun lapis masyarakat dan mempunyai sistem yang lebih mudah berbanding bahasa Jawa.
Perkara ini sudah cukup membuktikan bahawa bahasa melayu sebenarnya merupakan satu bahasa yang terpenting kepada bangsa melayu itu sendiri, kalaulah dahulu seluruh pedagang yang datang daripada pelbagai pelusuk dunia sanggup belajar bahasa melayu, tapi kenapa tidak kita pada masa kini.
Sama ada kita sedar ataupun tidak yang sebenarnya bahasa melayu pada masa ini lebih 300 juta orang yang bertutur bahasa melayu diseluruh dunia dengan Malaysia, Indonesia, brunei dan singapura menjadikannya sebagai bahasa rasmi. Hakikatnya rakyat perlu berbangga kerana bahasa melayu merupakan antara lima bahasa terbesar dunia selepas bahasa inggeris, bahasa cina, bahasa hindi dan bahasa sepanyol yang dituturkan masyarakat global ketika ini.
Ketua pengarah dewan bahasa dan pustaka (DBP) datuk termuzi abdul aziz juga berkata, kekuatan bahasa melayu yang diamalkan di negara ini juga hebat kerana ramai pakar sains dan teknologi di negara ini daripada aliran melayu. sejak 20 tahun lalu terdapat 1073 pakar dilahirkan dalam bidang fizik, biologi, dan kedoktoran jika dilihat dari segi penerbitan buku sebanyak 1082 buku sains dan teknologi dalam bahasa melayu diterbitkan (DBP) dan institusi pengajian tinggi.
Negara wujud kata Ibnu Khaldun dalam Mukaddimah kerana salah satunya bahasa selain budaya yang dapat membina peradaban dan tamadun. Bahasa sendiri, bahasa jiwa bangsa tersebut, justeru kedudukan bahasa Melayu yang hari ke hari, tahun ke tahun sedang terancam ini menggugat bangsa Melayu sendiri dan bangsa Malaysia semuanya secara umum.
kata-kata Abdullah Munsyi pada tahun 1882 mengenai mentaliti bangsa Melayu terhadap bahasa mereka sendiri:
Adalah suatu hairan lagi tercengang aku sebab melihat dan memikirkan hal orang Melayu ini belum sedar akan dirinya, dia tinggal dalam bodohnya itu oleh sebab ia tiada mahu belajar bahasanya sendiri dan tiada mahu menaruh tempat belajar bahasanya, maka mustahil pada akal adakah orang yang tiada belajar itu boleh menjadi pandai dengan sendirinya. Bukankah segala bangsa di dunia ini masing-masing ada belajar bahasanya?

Lu pikirlah sendiri kata nabil!!

0 comments:

Post a Comment

SELAMAT DATANG KE BAGUSBAHNEWS

DIHARAPKAN ADNA SENTIASA MENGUNJUNGI BAGUSBAHNEWS



.

Followers

CINTAI LAH SUNGAI KITA

CINTAI LAH SUNGAI KITA